Tuesday, May 26, 2009

SURAH 052 AT - TUUR

052 AT – TUUR



RINGKASAN SURAH


Demi Gunung Tursina, Kitab, Al Baitul Makmur, bumbung yang tinggi dan laut yang tepu kepanasan.


Azab tuhan akan berlaku dan tak sesiapa boleh menolaknya. Pada hari itu langit dan segala isinya akan bergegar dengan sekuatnya dan gunung-ganang bergerak dari tempatnya secara luar biasa. Ketika itu celaka dan kebinasaanlah mereka yang mendustakan kebenaran dan yang leka bermain dalam kesesatan.


Pada hari itu mereka akan ditolak ke alam neraka Jahannam secara kasarnya sambil dikatakan pada mereka "Inilah api neraka yang dahulu kamu mendustakannya. Adakah ini sihir juga sapertimana yang kamu katakan terhadap rasul dahulu? Rasalah bakarannya. Kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan dahulu".


Sesungguhnya orang yang bertaqwa akan di tempatkan ke dalam taman Syurga dengan nikmat kesenangan. Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Allah dan dipelihara dari azab. Dan dikatakan kepada mereka: "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan dahulu".


Mereka duduk berbaring di atas pelamin berkawankan bidadari. Bagi yang beriman yang zuriat keturunannya juga beriman maka zuriat keturunannya juga bersama mereka di Syurga. Allah tidak mengurangi sedikitpun pahala amal mereka, terikat dengan amal yang dikerjakannya.


Allah tambahi dari semasa ke semasa untuk mereka buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.


Mereka melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain dan mereka dilayani oleh anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka.


Mereka berkata: "Sesungguhnya kami dahulu selalu merasa cemas takut untuk derhaka kepada Allah. Maka Allah mengurniakan kami rahmat dan taufiqNya serta memelihara kami dari azab neraka ini. Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya dan memohon pertolonganNya. Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani".


Maka hendaklah engkau wahai Muhammad tetap tekun memberi peringatan dengan ajaran Al-Quran yang diturunkan kepadamu dan janganlah dihiraukan golongan yang ingkar kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu yang dilimpahkanNya kepadamu itu bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.


Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan bahkan mereka mengatakan: "Muhammad itu seorang penyair yang kami menunggu saat kebinasaannya".


Katakanlah wahai Muhammad: "Tunggulah kamu akan apa yang kamu tuduh itu, maka sesungguhnya aku juga sedang menunggu bersama kamu akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala".


Bukan sahaja mereka ingkar dan degil bahkan mereka berkata: "Muhammad telah mereka-reka Al-Quran itu". Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas bahkan mereka sengaja tidak mahu beriman! Kalau tidak bolehkah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata yang fasih indah seperti Al-Quran itu jika betul mereka orang yang benar dakwaannya.


Mengapa mereka tidak beriman? Adakah mereka telah tercipta dengan tiada penciptanya atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?


Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi? Sudah tentu tidak! Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini kebenaran.


Adakah di tangan mereka perbendaharaan Tuhan sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat. Atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?


Adakah mereka mempunyai tangga untuk naik ke langit untuk mereka dapat mendengar apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada maka biarlah mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang menyatakan kebenarannya.


Adilkah kamu sediakan bagi Allah anak perempuan yang kamu benci dan untuk kamu anak lelaki yang kamu sukai?


Pernahkah engkau wahai Muhammad, meminta sebarang bayaran kepada mereka mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan? Lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu?


Adakah pada sisi mereka Lauh Mahfuz yang mengandungi perkara-perkara yang ghaib, lalu mereka menyalin daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu?


Mereka tidak cukup dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja bahkan mereka hendak melakukan rancangan jahat terhadapmu Muhammad. Tetapi mereka tidak akan berjaya kerana orang kafir itu sendirilah yang akan ditimpa balasan rancangan jahatnya.


Apabila datangnya balasan rancangan jahat itu maka adakah bagi mereka Tuhan yang dapat menyelamatkan mereka selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.


Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali maka biarkanlah mereka dan janganlah dihiraukan sehingga mereka menemui hari dimana segala rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.


Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.


Dan dengan yang demikian bersabarlah dan terimalah ketetapan Allah memberi tempoh kepada mereka kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Allah. Bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun.


Dan hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan ketika bintang-bintang tenggelam pada waktu subuh.



000000000000000000000000000000000

52 AT – TUUR

SURAH SEPENUHNYA



http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?nType=2&nSora=25&nAya=1&nSeg=1&l=mal&t=mal


http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/




052:1 Demi Gunung Tursina;


052:2 Dan demi Kitab yang tertulis dengan rapi –


052:3 Pada lembaran surat yang terbuka;


052:4 Dan demi "Al-Baitul Makmur";


052:5 Dan demi bumbung yang tinggi;


052:6 Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); -


052:7 Sesungguhnya azab Tuhanmu tetap berlaku; -


052:8 Tidak ada sesiapapun yang dapat menolaknya; -


052:9 Pada hari langit (dan segala isinya) bergegar dengan sekuat-kuatnya.


052:10 Dan gunung-ganang bergerak dari tempatnya dengan cara yang luar biasa.


052:11 (Apabila berlaku yang demikian), maka kecelakaan dan kebinasaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan kebenaran;


052:12 Iaitu orang-orang yang leka bermain-main dalam kesesatan.


052:13 Pada hari mereka ditolak ke alam neraka Jahannam dengan penolakan yang sekasar-kasarnya,


052:14 (Dan dikatakan kepada mereka): "Inilah api neraka yang dahulu kamu mendustakannya.


052:15 "Maka adakah ini sihir juga (sebagaimana yang kamu katakan terhadap keterangan Rasul Kami dahulu?), atau kamu tidak nampak (kenyataannya sebagaimana kamu tidak nampak di dunia dahulu akan kebenaran Rasul Kami)?


052:16 "Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan".


052:17 Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).


052:18 Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka.


052:19 (Dan dikatakan kepada mereka): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".


052:20 Mereka duduk berbaring di atas pelamin-pelamin yang berderet; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.


052:21 Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.


052:22 Dan (penduduk Syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.


052:23 Mereka di dalam Syurga itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain): berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan timbul (dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan (peminumnya menanggung) dosa.


052:24 Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka, (yang cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.


052:25 Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.


052:26 Mereka berkata: "Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami - selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah),


052:27 "Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka.


052:28 "Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani".


052:29 Maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran-ajaran Al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan golongan yang ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkanNya kepadamu itu) bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.


052:30 (Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan mereka mengatakan: "(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya".


052:31 Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), maka sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu (akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)".


052:32 Adakah mereka disuruh oleh akal fikiran mereka melemparkan tuduhan-tuduhan yang sedemikian itu, atau sememangnya mereka suatu kaum yang melampaui batas (dalam keingkaran dan kedegilannya)?


052:33 (Bukan sahaja mereka ingkar dan degil) bahkan mereka berkata: "Dia (Muhammad) telah mereka-reka Al-Quran itu". (Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas) bahkan mereka sengaja tidak mahu beriman!


052:34 (Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.


052:35 (Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?


052:36 Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).


052:37 Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?


052:38 Adakah mereka mempunyai tangga (untuk naik ke langit), yang dengannya mereka dapat mendengar (apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada) maka biarlah orang mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang menyatakan kebenarannya.


052:39 Adilkah (kamu sediakan) bagi Allah - anak-anak perempuan (yang kamu benci), dan untuk kamu - anak-anak lelaki (yang kamu sukai)?


052:40 Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?


052:41 Adakah pada sisi mereka (Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang ghaib, lalu mereka menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?


052:42 (Mereka tidak cukup dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja) bahkan mereka hendak melakukan rancangan jahat (terhadapmu wahai Muhammad; tetapi mereka tidak akan berjaya) kerana orang-orang yang kafir itulah yang akan ditimpa balasan rancangan jahatnya.


052:43 (Apabila datangnya balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan (yang dapat menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.


052:44 Dan kiranya mereka melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka akan berkata: "(Itu adalah) awan yang bertompok - berlapis-lapis!"


052:45 (Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa –


052:46 (Iaitu) hari segala rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.


052:47 Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).


052:48 Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun.


052:49 Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).




052 052 052 TAMAT 052 052 052 052 TAMAT 052 052 052 TAMAT 052 052 052 052 TAMAT 052 052 052


ALHAMDULILLAH


No comments: