Monday, August 2, 2010

CERITA HARI KIAMAT



Pagi tadi Hj Ihsan sekali lagi memberi penerangan tentang hari kiamat, katanya:

Cerita Peramanya:

Apabila matahari hilang lenyap, bintang gugur berserakan, gunung-ganang beterbangan di angkasa kerana hancur menjadi debu, unta bunting ditinggalkan terbiar, binatang liar dihimpunkan, lautan meluap bercampur-baur, setiap diri disatukan dengan pasangannya dan anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya dosa apakah ia dibunuh?

Dan apabila surat amal dibentangkan, juga langit ditanggalkan dari tempatnya dan juga neraka dinyalakan. Dan apabila Syurga didekatkan.

Setelah semuanya itu berlaku, setiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

Allah bersumpah dengan bintang yang tenggelam timbul, yang beredar juga yang tetap pada tempatnya. Dan bersumpah dengan malam apabila ia hampir habis, dan siang apabila ia mulai terang; bahawa sebenarnya Al-Quran itu adalah sesungguhnya Kalamullah yang diutuskan oleh Jibril yang mulia, yang kuat gagah lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, yang ditaati di kalangan malaikat lagi yang dipercayai.

Sebenarnya sahabat kamu Muhammad (s.a.w.) itu bukanlah seorang yang gila seperti yang dituduh. Nabi Muhammad s.a.w. yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. kenal dan pernah melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

Dan bukanlah Nabi Muhammad s.a.w. itu seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk terhadap penyampaiannya mengenai perkara yang ghaib.

Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan. Maka dengan yang demikian maka ke manakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran?

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul.

Kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatupun, kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.


Cerita Keduanya:


Apabila langit terbelah, bintang gugur bertaburan, lautan pecah bercampur-baur dan kubur dibongkarkan.

Setelah semuanya itu berlaku, setiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu menyebabkan kamu derhaka kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan, serta menjadikan binaan tubuh badanmu sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.

Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu yang ingkar ini! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.

Padahal sesungguhnya, ada malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. Mereka adalah makhluk mulia Allah yang ditugaskan menulis amal kamu dan tahu apa yang kamu lakukan.

Catitan malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah kerana sesungguhnya orang yang berbakti dengan taat dan amal kebajikan, tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat. Dan orang yang bersalah akan berada di neraka menderita bakaran pada hari pembalasan nanti, sentiasa dalam azab seksaNya.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

Sekali lagi ditanya, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

Hari itu ialah hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.