Sunday, May 31, 2009

SURAH 066 AT - TAHRIIM (Mengharamkan)

066 SURAH AT - TAHRIIM (Mengharamkan)

12 ayat diturunkan di Madinah



RINGKASAN SURAH

Wahai Nabi! Mengapa engkau bersumpah mengharamkan dirimu daripada menikmati apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu kerana hendak mendapat keredoan isteri-isterimu. Cara melepaskan diri kamu dari sumpah kamu ini adalah dengan membayar denda.


Dan ingatlah ketika Nabi memberitahu suatu rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Isterinya itu menceritakan rahsia tersebut kepada seorang madunya. Allah pula membuka rahsia tersebut kepada Nabi dan Nabi pun menegur isterinya tentang pembukaan rahsia tersebut. Isteri Nabi bertanya: "Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan?". Nabi menjawab yang baginda diberutahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui lagi Amat Mendalam PengetahuanNya.


Perkara ini menyusahkan Nabi dan isterinya sepatutnya bertaubat atas kesalahannya membuka rahsia tersebut. Kamu tak akan berjaya menyusahkan Nabi kerana Allah adalah Pembelanya dan Jibril serta orang-orang soleh dan malaikat akan menjadi penolongnya.


Boleh jadi jika Nabi menceraikan kamu Tuhannya akan menggantikannya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa dari gulungan yang janda dan yang anak dara.


Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu berhala. Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar layanannya. Mereka tidak menderhaka kepada perintah.


Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka: "Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur dengan meminta ampun pada hari ini kerana masanya telah terlambat. Kamu hanyalah dibalas dengan apa yang kamu telah kerjakan".


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.


Berjihadlah menentang orang kafir dan orang munafik serta bertindak keras terhadap mereka. Sebenarnya tempat mereka ialah neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.


Allah mengemukakan satu misal perbandingan yang menyatakan tidak ada manfaatnya bagi orang-orang kafir berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh; dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka yang berpangkat Nabi itu tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut akan dimasukkan ke neraka.


Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan yang menyatakan tidak ada mudaratnya kepada orang mukmin berhubung rapat dengan orang kafir kalau imannya tak terjejas: perihal isteri Firaun ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya yang kufur dan buas serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";


Dan juga satu misal perbandingan lagi, iaitu: Maryam binti Imran, ibu Nabi Isa seorang perempuan yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh ciptaan Kami; dan sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.



0000000000000000000000000000000000000000000000000000

066 – 066 -066 – 066 - 066 066 066 – 066 – 066 066 – 066 - 066


66 At-Tahriim

Surah sepenuhnya

http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay
http://quran.al-islam.com/


066:1 Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


066:2 Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda - kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


066:3 Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: "Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) ".


066:4 Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.


066:5 Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara.


066:6 Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.


066:7 Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): "Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan".


066:8 Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".


066:9 Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.


066:10 Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".


066:11 Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";


066:12 Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.



066 – 066 -066 – 066 - 066 066 066 – 066 – 066 066 – 066 - 066

TAMAT

Friday, May 29, 2009

SURAH 067 AL - MULK

067 Al-Mulk



Maha Berkat serta Maha Tinggilah kelebihan Tuhan yang menguasai pemerintahan dunia dan akhirat dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa membalas amal kamu lagi Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.


Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit. Segala kejadian ciptaan Allah adalah seimbang dan kamu tak nampak kecacatannya. Jika kamu ragu-ragu maka lihatlah sekali lagi, dapatkah kamu lihat sebarang kecacatan? Ulangi lagi pandanganmu berkali-kali dan nescaya kamu akan hampa untuk dapat melihat sebarang kecacatan.


Dan demi sesungguhnya Allah telah menghiasi langit dengan bintang-bintang yang Allah jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan.


Bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam yaitu seburuk-buruk tempat kembalinya manusia. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ianya menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar dari orang kafir bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran di dunia dahulu?"


Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran tapi kami dustakan serta kami katakan kepadanya: Allah tidak menurunkan sesuatupun. Kamu yang mengaku hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! "


Dan lagi mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahaminya dahulu tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka ini".


Akhirnya mereka mengakui dosa mereka sebagai orang-orang yang kufur ingkar. Tapi rahmat Allah terhadap ahli neraka tetap jauh.


Sesungguhnya orang-orang yang takut melanggar hukum Allah, walaupun ia tidak dilihat orang lain dan mereka tidak melihat azab Allah, maka mereka ini akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.


Allah mendengar dan memahami kamu walaupun jika kamu mentuturkan perkataan kamu secara perlahan atau secara nyaring, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada kamu. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui segala-galanya? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!


Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu.ak Ma berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya serta makanlah dari rezeki yang dikurniakanNya. Ingatlah bahawa kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula. Maka hargailah nikmatNya dan takutlah kemurkaanNya.


Patutkah kamu tidak takut kepada Tuhan yang berkuasa menunggang-balikkan bumi menimbus kamu dan mengegarkan bumi itu dengan serta-merta sambilmelenyapkan kamu di bawahnya?


Atau tidakkah kamu takut kepada Tuhan yang berkuasa menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu?


Demi sesungguhnya ramai orang kafir terdahulu yang mendustakn rasul mereka lalu dibinasakan. Inilah kesan buruk kemurkaan Allah.


Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan kekuasaan Allah. Semasa burung terbang mengembangkan dan menutup sayapnya, siapakah yang menjaganya supaya tak jatuh? Hanya kuasa Allah yang Mahaa Pemurah yang menahannya dari jatuh ke tanah. Sesungguhnya, Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah


Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? Tidak ada sesiapapun, bahkan mereka yang musyrik itu kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri dari kebenaran.


Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah - atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?


Katakanlah wahai Muhammad: "Allah menciptakan kamu dari tiada kepada ada dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati untuk kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur". Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan".


Mereka yang ingkar bertanya Muhammad: "Bilakah datangnya hari kiamat yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?" Allah menyarankan untuk menyatakan: "Sesungguhnya ilmu pengetahuan tentang masa kedatangannya hanya ada pada sisi Allah dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata".


Kemudian apabila datang kiamat dan mereka melihat azab yang dijanjikan itu secara dekat maka muramlah muka orang-orang yang kafir itu serta dikatakan kepada mereka: "Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!".


Tanyalah kepada mereka: "Bagaimana fikiran kamu jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku sebagaimana yang kamu harap-harapkan, atau Ia memberi rahmat kepada kami sehingga kami dapat mengalahkan kamu, maka siapakah yang dapat melindungi kamu orang-orang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?".


Tegaskanlah kepada mereka: "Allah Dia lah Yang Maha Pemurah yang kami beriman kepadaNya dan yang kepadaNya kami berserah diri. Oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata".


Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu sekiranya air kamu hilang lenyap di telan bumi, maka siapakah selain Allah yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?".




00000000000000000000000000000000000000000000000000000000000000

067 Al-Mulk

Surah sepenuhnya

http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay
http://quran.al-islam.com/



067:1 Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;


067:2 Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);


067:3 Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?


067:4 Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).


067:5 Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.


067:6 Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.


067:7 Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.


067:8 Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"


067:9 Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! "


067:10 Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".


067:11 Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka.


067:12 Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.


067:13 Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.


067:14 Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!


067:15 Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).


067:16 Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?


067:17 Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?


067:18 Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.


067:19 Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


067:20 Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya.


067:21 Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).


067:22 Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah - atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?

067:23 Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".


067:24 Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan".


067:25 Dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"


067:26 Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata".


067:27 Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): "Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!".


067:28 Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), - maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?".


067:29 Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): "Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata".


067:30 Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?".



0000- 067 – 067- 067- 067 067 – 067- 067- 067 067 – 067- 067- 067 -000

SURAH 068 AL QALAM

068 Al-Qalam

(Pena)



RINGKASAN SURAH

Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis. Muhammad bukanlah seorang gila sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik bahkan engkau adalah seorang yang bijaksana. Sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam. Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.


Tidak lama lagi engkau akan melihat dan mereka juga akan melihat siapakah yang gila di antara kamu semua. Sesungguhnya Tuhanmulah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan siapa yang mendapat petunjuk.


Oleh itu berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan dan janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan Allah itu. Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur menurut kemahuan mereka supaya pada zahirnya, mereka juga kelihatan bertolak ansur berlemah-lembut terhadapmu.


Dan janganlah engkau berkisar dari pendirianmu yang benar dan jangan menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah lagi yang hina pendapat dan amalannya. Yang suka mencaci dan yang suka menyebarkan fitnah hasutan untuk memecah belahkan masyarakat, yang sering menghalangi amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa. Dan yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula siapa bapanya.


Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinak maka ia mendustakan ugama Allah?


Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat keterangan Allah ia berkata: "Ini ialah cerita-cerita dongeng orang dahulu kala".


Orang yang bersifat demikian akan didedahkan kehinaannya. Allah akan adakan tanda di atas hidungnya. Allah juga akan menimpakan mereka dengan bala bencana sebagaimana ditimpakan pada tuan-tuan punya kebun ketika mereka itu bersumpah dan yakin akan memetik hasil buah kebun itu pada esok pagi.


Tetapi mereka tak sedar kebun tersebut didatangi bala bencana dibinasa Allah pada malamnya sedang mereka semua tidur.


Sambil berjalan ke arah kebun mereka mereka berbisik mengharap tiada orang miskin berada masuk di kebun tersebut.

Alangkah terkejut mereka apabila melihat kebun mereka dimusnahkan hasilnya.


Berkatalah orang yang bersikap adil di antara mereka: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya: amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu ?"


Mereka berkata dengan sesalnya: "Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!"


Mereka berkata lagi: "Aduhai celakanya kita! Sesungguhnya kita adalah orang-orang yang melampaui batas. Semoga Tuhan kita (selepas kita bertaubat) akan menggantikan bagi kita yang lebih baik daripada kebun yang telah binasa itu; sesungguhnya, kepada Tuhan kita sahajalah kita berharap".


Demikianlah azab seksa yang telah ditimpakan kepada golongan yang ingkar di dunia dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih besar lagi.


Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat di sisi Tuhan mereka.


Patutkah Kami berlaku tidak adil dengan menjadikan orang-orang Islam yang taat sama seperti orang-orang yang berdosa yang kufur ingkar?


Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum yang terang-terang salahnya itu? Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab dari Allah yang kamu baca dan pelajari? Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa sahaja yang kamu pilih?


Atau adakah kamu mendapat akuan-akuan yang ditegaskan dengan sumpah dari Allah, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan?


Bertanyalah kepada mereka: "Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam?"


Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang sefaham dengan mereka? Kalau ada maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang-orang yang benar.


Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara hari kiamat dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, -


Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka di dunia dahulu telahpun diseru supaya sujud tetapi mereka enggan sedang mereka dalam keadaan sihat.


Biarkanlah Allah sahaja yang menarik mereka (yang mendustakan keterangan Al-Quran ini) sedikit demi sedikit ke jurang kebinasaan dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.


Dan Allah akan melanjutkan tempoh untuk mereka. Sesungguhnya rancangan sulit Allah terhadap golongan yang kufur ingkar itu amatlah kuat kukuh.


Pernahkah Muhammad meminta sebarang bayaran kepada mereka mengenai ajaran Islam yang disampaikannya lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruannya?


Atau adakah di sisi mereka Lauh Mahfuz yang mengandungi perkara-perkara yang ghaib lalu mereka menyalin daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu?


Maka bersabarlah kamu menerima hukum Tuhanmu memberi tempoh kepada mereka dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. Ingatlah kisahnya ketika ia (Nabi Yunus?) berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan.


Kalaulah ia tidak didatangi nikmat pertolongan dari Tuhannya nescaya tercampaklah ia ke tanah yang tandus di tepi pantai dalam keadaan ia ditempelak kerana salah silapnya. Selepas itu Tuhannya memilihnya, serta menjadikan dia dari orang-orang yang soleh.


Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka yang penuh dengan permusuhan dan kebencian semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: "Sebenarnya Muhammad itu, sungguh-sungguh orang gila".



Padahal Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi umat manusia seluruhnya.



000000000000000000000000000000000000000000000000000

Suruh sepenuhnya adalah berikut:

068 Al-Qalam

(Pena)



068:1 Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis, -


068:2 Engkau (wahai Muhammad) - dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu - bukanlah seorang gila (sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan engkau adalah seorang yang bijaksana).


068:3 Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam);


068:4 Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.


068:5 Maka (tidak lama lagi) engkau akan melihat, dan mereka juga akan melihat, -


068:6 Siapakah orangnya yang gila di antara kamu semua.


068:7 Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.


068:8 Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (ugama Allah).


068:9 Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu).


068:10 Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), -


068:11 Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), -


068:12 Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa, -


068:13 Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.


068:14 Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan ugama Kami)? –


068:15 Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat keterangan Kami, ia berkata: " (Ini ialah) cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".


068:16 (Orang yang bersifat demikian, akan didedahkan kehinaannya) - Kami akan adakan tanda di atas hidungnya (yang berupa belalai itu).


068:17 Sesungguhnya Kami telah timpakan mereka dengan bala bencana, sebagaimana Kami timpakan tuan-tuan punya kebun (dari kaum yang telah lalu), ketika orang-orang itu bersumpah (bahawa) mereka akan memetik buah-buah kebun itu pada esok pagi; -


068:18 Serta mereka tidak menyebut pengecualian.


068:19 Maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana dari Tuhanmu (pada malam hari), sedang mereka semua tidur.


068:20 Lalu menjadilah ia sebagai kebun yang telah binasa semua buahnya.


068:21 Kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu dengan yang lain –


068:22 (Setengahnya berkata): "Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya".


068:23 Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya):


068:24 "Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu".


068:25 Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampakan fakir miskin dari hasil kebun itu.


068:26 Sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata: "Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita)".


068:27 (Setelah mereka perhati dengan teliti, mereka berkata: "Tidak! Kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang yang dihampakan (dari hasil kebun kita, dengan sebab ingatan buruk kita sendiri)".


068:28 Berkatalah orang yang bersikap adil di antara mereka: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya): amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu) ?"


068:29 Mereka berkata (dengan sesalnya): "Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!"


068:30 Kemudian setengahnya mengadap yang lain, sambil cela-mencela.


068:31 Mereka berkata: "Aduhai celakanya kita! Sesungguhnya kita adalah orang-orang yang melampaui batas.


068:32 "Semoga Tuhan kita, (dengan sebab kita bertaubat) menggantikan bagi kita yang lebih baik daripada (kebun yang telah binasa) itu; sesungguhnya, kepada Tuhan kita sahajalah kita berharap".


068:33 Demikianlah azab seksa (yang telah ditimpakan kepada golongan yang ingkar di dunia), dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih besar lagi; kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan (tentulah mereka beringat-ingat).


068:34 Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.


068:35 Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)?


068:36 Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?


068:37 Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari?


068:38 Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa sahaja yang kamu pilih?


068:39 Atau adakah kamu mendapat akuan-akuan yang ditegaskan dengan sumpah dari Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan?


068:40 Bertanyalah kepada mereka: "Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam?"


068:41 Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham dengan mereka? Kalau ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang-orang yang benar.


068:42 (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, -


068:43 Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.


068:44 Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.


068:45 Dan Aku akan melanjutkan tempoh untuk mereka; sesungguhnya rancangan sulitKu (terhadap golongan yang kufur ingkar itu), amatlah kuat kukuh.


068:46 Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?


068:47 Atau adakah di sisi mereka (Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang ghaib lalu mereka menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?


068:48 Maka bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan.


068:49 Kalaulah ia tidak didatangi nikmat pertolongan dari Tuhannya, nescaya tercampaklah ia ke tanah yang tandus (di tepi pantai) dalam keadaan ia ditempelak (kerana salah silapnya).


068:50 Selepas itu Tuhannya memilihnya, serta menjadikan dia dari orang-orang yang soleh.


068:51 Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: "Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila".


068:52 Padahal Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi umat manusia seluruhnya.



0000000000000000000000000000000000000000000000

SURAH 069 AL - HAAQQAH

069 SURAH AL - HAAQQAH

(HARI KIAMAT)



RINGKASAN SURAH


Saat Kiamat yang tetap berlaku itu, apakah sifat dan keadaannya dan bagaimana hendak mengetahuinya?


Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari kiamat yang menggempar dan mengharukan itu. Maka masing-masing menerima azab dunianya. Kaum Thamud (kaum Nabi Soleh) pula dibinasakan dengan petir yang sangat dahsyatnya. Kaum Aad (kaum Nabi Hud) pula mereka dibinasakan dengan angin ribut yang melampau kencangnya selama tujuh malam lapan hari. Kalaulah engkau menyaksikannya maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati seolah-olah mereka batang pohon kurma yang tumbang dan lompang.

Kaum Firaun juga menderhaka kepada rasul utusan Allah dan diseksa dengan azab. Kaum Nabi Nuh diteggelamkan dalam banjir besar.


Allah lakukan yang demikian dijadikan peristiwa tersebut sebagai satu pelajaran bagi kamu untuk diambil ingat mereka yang mahu menerima pengajaran.


Apabila ditiup Sangkakala bumi serta gunung-ganang akan diangkat dan dihancurka dan disaat itu berlakulah kiamat. Terbelahlah langit menjadi reput runtuh sedang malaikat ditempatkan mengawal segala penjurunya.


Pada hari itu kamu semua dihadapkan untuk hitungan amal. Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya maka ia akan di dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, di dalam Syurga yang tinggi darjatnya, terdapat buah-buahannya dekat untuk dipetik.


Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan: "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik dengan sebab amal soleh yang kamu kerjakan pada masa di dunia dulu!"


Adapun orang yang diberikan Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata dengan sesalnya: "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus yang menamatkan kesudahanku tidak dibangkitkan lagi. Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun. Kuat kuasaku dan hujjahku membela diri telah binasa dan hilang lenyap dariku".


Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka: "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim. Selain dari itu masukkanlah dia dalam lingkaran rantai besi membelit badannya! Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar. Dan dia juga tidak menggalakkan dirinya dan orang lain memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini kaum kerabat serta sahabat handai yang dapat menolongnya.


"Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah".


Allah bersumpah: Demi segala yang nyata yang kamu melihatnya dan segala yang ghaib yang kamu tidak melihatnya, bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah wahyu dari Allah yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang! Amatlah sedikit kamu yang beriman.

Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang! Amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

.

Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

Sesungguhnya Al-Quran itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan sesungguhnya Allah sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan Al-Quran, maka Kami akan membalasnya. Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir semasa mereka menerima balasan. Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini dengan seyakin-yakinnya.


Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.




00000000000000000000000000000000000000000000000000000000000

069 AL - HAAQQAH

(HARI KIAMAT)

http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?nType=2&nSora=25&nAya=1&nSeg=1&l=mal&t=mal

http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/

SURAH SEPENUHNYA


069:1 Saat yang tetap berlaku itu –


069:2 Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu?


069:3 Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat).


069:4 Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu.


069:5 Maka (masing-masing menerima azab dunianya) - adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya.


069:6 Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, -


069:7 Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.


069:8 Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?


069:9 Dan (selain dari mereka) datanglah Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripadanya, serta penduduk negeri-negeri yang telah ditunggang balikkan - dengan melakukan perkara-perkara yang salah.


069:10 Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah.


069:11 Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya).


069:12 (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.


069:13 Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup, -


069:14 Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur,


069:15 Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, -


069:16 Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh),


069:17 Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.


069:18 Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.


069:19 Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!


069:20 "Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!"


069:21 Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan,-


069:22 Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), -


069:23 Buah-buahannya dekat untuk dipetik.


069:24 (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"


069:25 Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku, -


069:26 "Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.


069:27 "Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); -


069:28 "Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; -


069:29 Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku".


069:30 (Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, -


069:31 "Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim; -


069:32 "Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!


069:33 "Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar,


069:34 "Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.


069:35 "Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya), -


069:36 "Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur,


069:37 "Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah".


069:38 Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya, -


069:39 Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya,


069:40 Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia.


069:41 Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman.


069:42 Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.


069:43 (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.


069:44 Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan, -


069:45 Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, -


069:46 Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta);


069:47 Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.


069:48 Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa.


069:39 Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya).


069:50 Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan).


069:51 Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).


069:52 Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.



oooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooo