81. At-Takwir
1. Apabila matahari dilingkari cahayanya dan hilang lenyap, dan apabila bintang-bintang gugur berselerak, dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa setelah dihancurkan menjadi debu, dan apabila unta yang bunting terbiar, dan apabila binatang liar dihimpunkan, dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur, dan apabila setiap diri disatukan dengan pasangannya, dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya: “Dengan dosa apakah ia dibunuh?”
2. Dan apabila suratan amal dibentangkan, dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya, dan apabila neraka dinyalakan menjulang dan apabila Syurga didekatkan.
Setelah semuanya itu berlaku setiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
3. Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul, yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya. Dan demi malam, apabila ia hampir habis, dan siang, apabila ia mulai terang.
4. Sebenarnya Al-Quran itu sesungguhnya ialah Kalamullah yang disampaikan oleh Jibril, Utusan yang mulia, yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, yang ditaati di sana dalam kalangan malaikat, lagi dipercayai.
5. Sebenarnya sahabat kamu Nabi Muhammad itu wahai golongan yang menentang Islam, bukanlah ia seorang gila sepertimana kamu tuduh. Dan Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.
6. Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara yang ghaib.
7. Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
8. Dengan yang demikian, maka ke manakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran?
9. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatupun, kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
Klik sini untuk dengar surahnya:
At-Takwir
82. Al-Infitar
Apabila langit terbelah daan apabila bintang-bintang gugur bertaburan, dan apabila lautan pecah bercampur-baur; dan apabila kubur-kubur dibongkarkan.
Setelah semuanya itu berlaku, setiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu menyebabkab kamu berlaku derhaka kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan, serta menjadikan binaan tubuh badanmu sama padan dengan kekuatannya dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.
Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu hai golongan yang ingkar! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. Padahal sesungguhnya, ada malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu.
Mereka adalah makhluk yang mulia di sisi Allah, lagi ditugaskan menulis amal kamu. Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
Gunanya catitan malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah, kerana sesungguhnya orang yang berbakti dengan taat dan amal kebajikan tetap akan berada dalam Syurga yang penuh nikmat.
Dan orang yang bersalah akan bertempat dalam neraka yang menjulang. Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan. Dan mereka sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
Apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? Sekali lagi ditanya, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
Hari itu ialah hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.
Klik sini untuk dengar surahnya: