Tuesday, June 2, 2009

SURAH 071 NUH

071 NUH

(Kesah Nabi Nuh)


RENGKASAN SURAH

Allah telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya dengan berfirmanNya: "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya". Nuh pun menyeru kaumnya dengan berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata. Sembahlah Allah dan bertaqwalah kepadaNya serta taatlah kamu kepadaku”.


"Supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kamu dan tidak terkena azab Allah nanti. Segeralah beribadat dan bertaqwa kerana sesungguhnya ajal ketetapan Allah apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan. Kalaulah kamu mengetahui hakikat ini tentulah kamu segera beriman".


Setelah puas menyeru mereka Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam supaya mereka beriman. Namun seruanku itu tidak mereka tyrutu malah mereka lebih melarikan diri dari kebenaran. Setiap kali aku menyeru mereka beriman supaya Engkau mengampunkan dosa mereka, mereka menyumbatkan telinga mereka dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaian mereka serta berdegil dengan keingkarannya. Juga berlaku sombong takbur dengan melampau.


"Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang. Selain dari itu aku berulang-ulang menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.


"Sehingga aku berkata kepada mereka: “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. Sekiranya kamu berbuat demikian Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang mengalir di dalamnya.


"Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah dan kekuasaanNya. Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?


"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingka dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu terang-benderang. Dan Allah telah menumbuhkan kamu tanaman tumbuhan yang sungguh sempurna. Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi secara mematikan kamu dan menghidupkan kamu semula untuk dihitung amalan kamu dan diberi balasannya?”


"Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya".


Nabi Nuh merayu lagi dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku dan mereka telah menurut orang yang berharta bendanya dan banyak anak-pinaknya. Mereka juga telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan untuk menentang seruanku. Dan ketua-ketua mereka menghasut dengan berkata: “Jangan kamu meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kamu terutama penyembaha) Wadd dan Suwaa' dan Yaghuth dan Ya'uuq serta Nasr.


"Dan sesungguhnya ketua-ketua mereka itu telah menyesatkan kebanyakan dari umat manusia dan dengan yang demikian janganlah Engkau wahai Tuhanku menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua".


Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan dengan banjir dan taufan. Kemudian pada hari akhirat nanti merekaakan dimasukkan ke dalam neraka tanpa beroleh sebarang penolong selain Allah.


Nabi Nuh merayu lagi dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi! Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka hidup nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.


"Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman. Dan ampunkanlah bagi sekalian orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dalam segala zaman. Dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!"



0000000000000000000000000000000000000000

071 Nuh


071:1 Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya".


071:2 dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;


071:3 "Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;


071:4 "Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)".


071:5 (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);


071:6 "Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).


071:7 "Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.


071:8 "Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;


071:9 "Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.


071:10 "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.


071:11 "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;


071:12 "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).


071:13 "Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -


071:14 "Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?


071:15 "Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,


071:16 "Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),


071:17 "Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,


071:18 "Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?


071:19 "Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

071:20 "Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya".


071:21 Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

071:22 "Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).


071:23 "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.


071:24"Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua".


071:25 Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).


071:26 Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!


071:27 "Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.


071:28 "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!"



0000000000000000000000000000000000000000000000000000

2KD

SURAH 072 Al - JINN

072 SURAH AL - JINN


RINGKASAN SURAH

Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar Al-Quran yang aku bacakan, lalu mereka menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran, sebuah Kitab Suci yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.”


“Dan ketahuilah wahai kaum kami! bahawa sesungguhnya Tuhan kita tidak beristeri dan tidak beranak.”


“Dan ajaran Al-Quran nyatalah bahawa sesungguhnya: ketua kita yang kurang akal pertimbangannya telah mengatakan mengenai Allah perkara yang tak benar. Dan aalah salah yang kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.”


“Dan bahawa sesungguhnya adalah amat salah perbuatan beberapa orang gulungan manusia menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan daripada kepada golongan jin kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”


“Dan bahawa sesungguhnya tidaklah benar manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat. Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya dan dengan rejaman-rejaman api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat perhentian di langit untuk mendengar percakapan penduduknya. Maka sekarang sesiapa yang cuba mendenga, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya. Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah dengan adanya kawalan langit yang demikian hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka? Dan bahawa sesungguhnya memang maklum ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain dari itu kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. Dan bahawa sesungguhnya kita sekarang mengetahui bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah walau di mana sahaja kita berada di bumi dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya walau ke langit sekalipun. Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk Al-Quran kami beriman kepadanya dengan tidak bertangguh lagi; kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian mengenai amalnya yang baik dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan. Dan bahawa sesungguhnya dengan datangnya Al-Quran, nyatalah ada di antara kita golongan yang berugama Islam dan ada pula golongan yang kufur derhaka dengan menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam dengan beriman dan taat, maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar. Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam.”


Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi: "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka manusia dan jin itu berjalan betul di atas jalan Islam sudah tentu Allah akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama menurunkan hujan lebat kepada mereka. Pemberian yang demikian untuk Kami menguji dan menzahirkan bawaan dan keadaan mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam; dan ingatlah, sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, dengan berlaku ingkar - derhaka, maka Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.


"Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk ibadat kepada Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.


"Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah Nabi Muhammad berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya".


Katakanlah wahai Muhammad: "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun".


Katakanlah lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.


Katakanlah lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari azab Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,


"Aku diberi kuasa hanya menyampaikan wahyu dari Allah dan perintah-perintahNya yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya; dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.".


Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad, sehingga apabila mereka melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.


Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama ada azabyang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.


"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, -


"Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).


"Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa sesungguhnya - dengan jagaan mereka - Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, dengan sempurna; pada hal Ia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu".



000000000000000000000000000000000000000000000000000

072 Al-Jinn


SURAH SEPENUHNYA

072:1 Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!


072:2 Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.


072:3 Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.


072:4 Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran;


072:5 Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.


072:6 Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.


072:7 Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat).


072:8 Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.


072:9 Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.


072:10 Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?


072:11 Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.


072:12 Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun).


072:13 Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.


072:14 Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,


072:15 Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam. '


072:16 (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.


072:17 "(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar - derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.


072:18 "Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.


072:19 "Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya".


072:20 Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun".


072:21 Katakanlah lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.


072:22 Katakanlah lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,


072:23 "(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.".


072:24 (Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.


072:25 (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.


072:26 "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, -


072:27 "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).


072:28 "(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa sesungguhnya - (dengan jagaan mereka) - Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Ia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu".



00000000000000000000000000000000000000000000000000

SURAH 073 AL - MUZZAMIL

073 Al-Muzzammil

(Yang Berselimut)


RINGKASAN SURAH

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selepas mendapat sedikit rehat. Dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". Biasakanlah berbuat ibadat yang berat kerana Kami akan menurunkan kepadamu wahyu Al-Quran yang mengandungi perintah yang berat kepada mereka yang tidak bersedia.


Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam berkesan kepada jiwa dan tetap betul bacaannya.


Digalakkan beribadat pada malam kerana engkau mempunyai banyak urusan pada siangnya.


Sebutlah dengan lidah dan dengan hati akan nama Tuhanmu terus menerus siang dan malam serta bulatkan tumpuan amal ibadatmu kepadaNya.


Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat. Tiada Tuhan melainkan Dia. Maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.


Bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh penentangmu dan jauhi mereka dengan cara yang baik.


Dan biarkanlah Aku sahaja yang akan membalas pendusta bawaanmu itu dan berilah tempoh sedikit kepada mereka. Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan untuk mereka belenggu dan neraka yang menjulang-julang, serta makanan yang menjadikan tercekik dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.


Azab itu tetap berlaku apabila bumi dan gunung-ganang bergoncang serta hancur.


Kami mengutus kamu sebagai seorang Rasul yang menjadi saksi tentang orang yang mematuhi atau yang menolak seruannya sebagaimana Kami telah mengutus Musa kepada Firaun.


Maka Firaun menderhaka lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang berat.


Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu - kalau kamu kufur ingkar - dari azab hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?


Langit yang demikian besarnya akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan Kiamat. Ingatlah janji Allah adalah benar.


Sesungguhnya keterangan yang mengandungi amaran ini menjadi peringatan. Oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya dengan iman dan taat.


Sesungguhnya Tuhanmu wahai Muhammad mengetahui bahawasanya engkau bangun sembahyang Tahajjud selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya. Demikian juga dilakukan oleh orang-orang yang bersamamu. Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu dengan memberi kemudahan kepada kamu. Oleh itu bacalah dalam sembahyang kamu mana2 surah yang mudah kamu. Ia juga mengetahui bahawa di antara kamu ada yang sakit, dan yang lainnya orang-orang musafir di muka bumi mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan yang lainnya lagi orang yang berjuang pada jalan Allah membela ugamaNya.


Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik ikhlas. Dan ingatlah, apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.


Dan mintalah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.


Ooooooooooooooooooooooooooooooooooooooo

073 Al-Muzzammil

Surah sepenuhnya adalah berikut

073:1 Wahai orang yang berselimut!.


073:2 Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),


073:3 Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,


073:4 Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".


073:5 (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).


073:6 Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.


073:7 (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;


073:8 Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.


073:9 Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.


073:10 Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.


073:11 Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;


073:12 Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,


073:13 Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.


073:14 (Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur), dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.


073:15 Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.


073:16 Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.


073:17 (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu - kalau kamu kufur ingkar - (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?


073:18 Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya.


073:19 Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).


073:20 Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.



000000000000000000000000000000000000000000

- 073 -

SURAH 074 AL - MUDDATHIR

074 Al-Muddaththir

(Yang Berselumbung)


RINGKASAN SURAH

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia. Ingat dan ucapkan kebesaran Tuhanmu.


Dan hendaklah engkau bersihkan pakaianmu. Dan hendaklah engkau jauhi segala kejahatan. Jika kamu memberi sesuatu janganlah bertujuan mendapat lebih banyak daripadanya.
Dan apabila menjalankan perintah Tuhanmu bersabarlah terhadap tentangan musuh.


Kerana pada disaat ditiupkan sangkakala adalah saat yang sangat sukar. Bagi orang yang kafir tidaklah mudah mereka mudah mengelak azabnya.


Jangan engkau bimbang wahai Muhammad dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang yang menentangmu itu.

Semasa Aku ciptakan dia ianya berkeadaan seorang diri tanpa harta dan anak pinak. Kemudian Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak serta anak pinak yang ramai yang sentiasa ada di sisinya. Dan Aku mudahkan baginya mendapat kekayaan.


Kemudian ia ingin sangat supaya Aku tambahi lagi. Tak mungkin Aku tambahkan kerana sungguhnya dia telah menentang ayat-ayat Al-Quran Kami yang disampaikan melalui Rasul Kami.


Aku akan menyeksanya dengan azab yang berat. Sebabnya? Kerana sesungguhnya ia telah merancang dan membuat berbagai tuduhan terhadap Al-Quran. Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani membuat sedemikian? Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka tuduhan-tuduhan itu?


Kemudian ia merenung dan memikirkan jalan-jalan lain untuk mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal. Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah kerutnya. Kemudian ia berpaling dari kebenaran dan menjadi sombong angkuh serta berkata: " Al-Quran ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari dari ahli-ahlinya. Ini tidak lain hanyalah kata-kata rekaan manusia!"


Disebabkan kekufurannya itu Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya binasa terus. Ia terus-menerus membakar kulit manusia!


Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas malaikat. Merekalah kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami.


Sebenarnya! Demi bulan dan malam apabila ia balik melenyapkan diri. Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang. Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu malapetaka yang amat besar yang menjadi amaran bagi umat manusia memilih mahu maju dalam mengerjakan kebaikan atau yang mahu mundur daripada mengerjakannya.


Tiap-tiap diri terikat tidak terlepas daripada balasan buruk bagi amal jahat yang dikerjakannya.


Kecuali puak Kanan yang ditempatkan di dalam Syurga yang penuh nikmat. Mereka bertanya-tanya tentang tempat tinggal orang-orang yang bersalah. Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu mereka berkata: "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?"


Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salahd. Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan. Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini".


Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat .


Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah maka kenapa mereka berpaling lari dari peringatan Al-Quran? Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang melarikan diri takutkan singa!


Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri.


Sebenarnya! Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil bahkan mereka tidak percaya dan tidak takut akan hari akhirat.


Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan yang sangat besar pengajarannya.


Oleh itu sesiapa yang mahu beringat dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Dan dalam pada itu tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah. Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan kepada orang-orang yang beriman dan taat.

9999999999999999999999999999999999999999999

074 Al-Muddaththir

(Yang Berselumbung)


SURAH SEPENUHNYA

074:1 Wahai orang yang berselimut!


074:2 Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).


074:3 Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!


074:4 Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.


074:5 Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.


074:6 Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.


074:7 Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!


074:8 Kerana apabila telah ditiup sangkakala,


074:9 Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –


074:10 Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).


074:11 (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),


074:12 Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,


074:13 Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.


074:14 Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.


074:15 Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;


074:16 Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).


074:17 Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.


074:18 Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran.


074:19 Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?


074:20 Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?


074:21 Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);


074:22 Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut;


074:23 Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,


074:24 Serta ia berkata: " (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);


074:25 "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!"


074:26 (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.


074:27 Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?


074:28 Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)


074:29 Ia terus-menerus membakar kulit manusia!


074:30 Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).


074:31 Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.


074:32 Sebenarnya! Demi bulan,


074:33 Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,


074:34 Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,


074:35 Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,


074:36 Yang menjadi amaran bagi umat manusia,


074:37 (Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).


074:38 Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,


074:39 Kecuali puak Kanan


074:40 (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya


074:41 Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,


074:42 (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"


074:43 Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;


074:44 "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;


074:45 "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;


074:46 "Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,


074:47 "Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini".


074:48 Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.


074:49 (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ?


074:50 Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,


074:51 Melarikan diri (ketakutan) dari singa!


074:52 (Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri).


074:53 Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat.


074:54 Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);


074:55 Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.


074:56
Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).



SURAH 075 AL - QIAMAH (Hari Kiamat)

075 AL – QIAAMAH

(HARI KIAMAT)

RINGKASAN SURAH

Aku bersumpah dengan Hari Kiamat dan dengan "Nafsul Lawwaamah" bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati! Patutkah manusia kafir menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya dan menghidupkan mereka semula selepas mereka mati?


Bukanlah sebagaimana yang disangka itu, kami berkuasa menyusun dengan sempurnanya segala tulang jarinya, tulang yang lebih halus dari yang lain.


Kebenaran itu bukan tanpa bukti. Tetapi manusia yang ingkar sentiasa suka teru menjadi kufur dan maksiat di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat. Dia bertanya sambil mengejek: "Bilakah datangnya hari kiamat itu?"


Maka jawabnya: hari kiamat akan datang apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar kerana gerun takut. Juga bulan akan hilang cahayanya sementara matahari serta bulan dihimpunkan bersama.


Pada hari itu berkatalah manusia yang ingkarkan hari kiamat: "Ke manakah hendak melarikan diri?"


Tak usahlah bertanya demikian! Dah tiada lagi tempat nak berlindung! Pada hari itu kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.


Pada hari itu manusia akan melihat semula apa yang ia telah lakukan dan apa yang ia telah tinggalkan. Anggota badan manusia itu sendiri akan bberckap menjadi saksi terhadap dirinya sendiri.


Janganlah engkau Muhammad terburu2 hendak cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu dengan menggerakkan lidahmu membacanya sebelum Al Quran tersebut selesai dibacakan kepadamu.


Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu ke dalam dadamu dan menetapkan bacaannya pada lidahmu. Oleh itu apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya kepadamu, dengan perantaraan Jibril, maka bacalah menurut bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya jika memerlukan penjelasan.


Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. Sebenarnya kamu lupakan kesudahan kamu kerana kamu sentiasa mencintai kesenangan dan kemewahan dunia yang cepat habisnya itu.
Dan kamu tidak menghiraukan bekalan untuk hari akhiratmu yang kekal abadi kehidupannya itu.


Pada hari akhirat itu, muka orang yang beriman berseri-seri dapat melihat Tuhannya.


Dan pada hari itu pula muka orang kafir muram hodoh kerana mereka yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka azab seksa yang membinasakan.


Sedarlah, janganlah mengutamakan duniamu dan melupakan akhiratmu.


Ingatlah akan hal orang yang hendak mati apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong dan orang yang hadir di sisinya heboh berkata: "Siapakah yang dapat menawar jampi dan mengubatnya?" Dan ia sendiri yakin bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan serta kedahsyatan yang bertindih-tindih. Pada ketika itu kepada Tuhanmulah kamu akan dibawa untuk menerima balasan.


Orang kufur ingkar tidak percayakan pada hari akhirat. Maka ia tidak mengakui kewajipan mengerjakan sembahyang yang difardhukan kepadanya. Juga ia mendusta dan berpaling engkar. Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.


Wahai orang kufur ingkar! Kebinasaanmu sudahlah dekat! Api nerakalah lebih layak bagimu.


Patutkah manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan terbiar dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan untuk menerima balasan? Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan ke dalam rahim? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku sesudah itu Tuhan menciptakannya dan menyempurnakan kejadiannya sebagai manusia? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis, lelaki dan perempuan.


Adakah Tuhan yang menjadikan semuanya itu tidak berkuasa menghidupkan orang yang mati? Tentulah Ia berkuasa!


000000000000000000000000000000000000000000000

075 AL – QIAAMAH

(Hari Kiamat)



SURAH SEPENUHNYA


075:1 Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;


075:2 Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!


075:3 Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?


075:4 Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).


075:5 (Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat)


075:6 Dia bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari kiamat itu?"


075:7 Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),


075:8 Dan bulan hilang cahayanya,


075:9 Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama


075:10 (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): "Ke manakah hendak melarikan diri?"


075:11 Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!


075:12 Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.


075:13 Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan.


075:14 Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,


075:15 Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).


075:16 Janganlah engkau (wahai Muhammad) - Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).


075:17 Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);


075:18 Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;


075:19 Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).


075:20 Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.

075:21 Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).


075:22 Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;


075:23 Melihat kepada Tuhannya.


075:24 Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,


075:25 Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan.


075:26 Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,


075:27 Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: "Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?"


075:28 Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;


075:29 Serta kedahsyatan bertindih-tindih;


075:30 (Maka) kepada Tuhanmu lah - pada waktu itu - engkau dibawa (untuk menerima balasan).


075:31 (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!


075:32 Akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar!


075:33 Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.


075:34 (Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!


075:35 Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.


075:36 Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?


075:37 Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?


075:38 Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?


075:39 Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan.


075:40 Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu - tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!



075 . 075 . . 075. . 075 . 075 . . 075. . 075 . 075 . . 075. . 075 . 075 . . 075. . 075 . 075 . . 075